Sunday 27 November 2011

Pengajaran Pemusatan Murid

Model pengajaran ini menggalakkan murid melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pembelajaran mereka dan guru pula merupakan pemimpin untuk memandu murid-murid menjalankan aktiviti pembelajaran (Mok Soon Sang, 1993). Dewey sebagai ahli pendidik menjelaskan proses berorientasi-pelajar mempastikan pelajar-pelajar menganalisa pengalaman-pengalaman mereka dan menggalakkan pelajar-pelajar menjadi lebih bertanggungjawab pada diri sendiri dan terarah (Withall, 1991).
Konsep pendidikan pemusatan-murid/pelajar berasal dari terapi ‘client-centred’ (Rogers 1965, dalam Withall, 1991). Rogers menjelaskan lagi bahawa dalam hal ini pendidik mesti sedar dan mengambil berat tentang keperluan afektif pelajar sebagaimana dengan kognitifnya. Dalam situasi pendidikan, pengajar menggunakan pelbagai ragam tingkahlaku untuk mengurus suasana pembelajaran (Withall, 1991); tingkahlaku di sini termasuk: menyusun persekitaran fizikal untuk bersemuka, dialog pada ‘eye-level’ yang sama di antara guru dengan murid, dan murid dengan murid.
Terdapat kaedah yang bersesuaian untuk dipertimbangkan dalam pengajaran pemusatan murid; misalnya kaedah kumpulan, inkuiri-penemuan, perbincangan, penyoalan, penyelesaian masalah, bermain, simulasi, main peranan dan sumbangsaran. Semua kaedah-kaedah ini hanya dapat digunakan dengan baik jika guru sedar tentang peranannya dan peranan murid dalam pengajaran dan pembelajaran. Dalam hal ini Dewey memberi pandangannya, bahawa “educators have to cultivate the ability to put themselves into the learners’ shoes, and take the phenomenological view (Withall, 1991).
Guru-guru harus tahu ciri-ciri pengajaran pemusatan murid, supaya mereka dapat mangamalkan model ini dengan lebih berkesan. Mengikut Mok Soon Sang (1993) terdapat beberapa ciri-ciri yang boleh menjadi panduan, di sini penulis hanya menyeneraikan sebahagian ciri-cirinya yang dirasakan oleh penulis cukup berkait rapat dengan fahaman konstruktif. Ciri-ciri tersebut ialah;
♦ Dalam aktiviti P&P, murid memainkan peranan penting, guru merupakan pemimpin dan membimbing aktiviti.
♦ Interaksi guru dan murid secara dua hala. Interaksi ini mengakibatkan murid berfikir.
♦ Guru bersifat demokratik, murid-murid sentiasa digalakkan memberi pendapat mereka, keadah perbincangan digalakkan.
♦ P&P lebih mengutamakan objektif pembelajaran murid.
♦ Penyampaian guru ditumpukan kepada pengajaran yang bermakna supaya murid memahami dan berupaya membuat kesimpulan.
♦ Interaksi antara murid adalah banyak. Aktiviti kumpulan digalakkan.
♦ Di bawah strategi ini murid-murid akan menunjukkan sifat kreatif dan berinisiatif.

Perancangan Pengajaran Dalam Matematik

Setiap pendidik matematik amat memerlukan pengetahuan dan kemahiran dalam menyampaikan sesuatu isi pelajaran kepada anak didiknya. Amat jarang kedapatan di kalangan guru-guru yang dapat mengajar secara berkesan, jelas, tanpa sebarang gangguan dengan hanya berbekalkan kebolehan semula jadi (D' Augustine, 1973 ). Pengajaran matematik yang berkesan perlu memenuhi beberapa langkah penting seperti berikut :
• Penelitian terhadap konsep-konsep asas yang terlibat dalam sesuatu topik
• Mengenalpasti serta menyenaraikan objektif pengajaran dan pembelajaran secara eksplisit
• Mengenalpasti kemahiran prasyarat yang diperlukan bagi sesuatu topik dan skim matematik yang sedia ada dalam minda pelajar.
• Memilih kaedah dan alat bantu mengajar yang sesuai untuk mengembangkan sesuatu konsep
• Mempertimbang dan menyediakan aktiviti latihan untuk menguasai sesuatu kemahiran khususnya dalam penyelesaian masalah.
• Mempertimbangkan kaedah serta instrumen untuk menilai keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.
• Melatih dan meningkatkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis di kalangan pelajar.
• Menerapkan nilai-nilai murni dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti luar kelas.
Selepas kita mengetahui topik serta konsep-konsep yang berkaitan untuk di ajar, kita perlu menyenaraikan objektif tingkah laku yang bakal dipamirkan oleh setiap murid apabila mereka benar-benar memahami atau menguasai isi pelajaran yang telah disampaikan. Tingkah laku yang dipamirkan ini juga akan menunjukkan tahap kefahaman pelajar. Sebagai contoh, katakan kita ingin mengetahui sama ada pelajar memahami konsep segitiga. Kita boleh melibatkan beberapa objektif tingkahlaku yang boleh menjadi bukti bahawa pelajar telah memahami konsep segitiga, antaranya :
• Melukis segitiga : Pelajar sepatutnya dapat melukis sebuah segitiga di atas se keping kertas dengan menggunakan pensel dan pembaris.
• Memilih bentuk : Pelajar sepatutnya dapat memilih bentuk segitiga daripada set pelbagai bentuk yang dipamirkan kepada mereka.
• Menyatakan definisi : Pelajar dapat menyatakan definisi segitiga dengan tepat sama ada secara lisan atau bertulis.
Sesuatu objektif biasanya ditentukan bagi sesuatu tempoh pengajaran, sama ada untuk satu masa atau dua masa, bergantung kepada isi pelajaran dan peruntukan masa mengajar. Pemilihan objektif tidak hanya menentukan tahap kefahaman seseorang pelajar, malah ia juga akan menentukan kaedah dan alatan yang sesuai digunakan. Sebagai contoh, katakan objektif yang dipilih berbunyi : " murid dapat menambah dua nombor satu digit dengan satu digit ". Jika tajuk berkenaan baru mula diajar, guru perlu menyediakan aktiviti untuk membimbing murid memahami konsep ' pengumpulan ' atau ' penyatuan ' antara dua set benda. Pengajaran bermula dengan aktiviti konkrit di mana para pelajar akan terlibat secara aktif, memanupulasi bahan-bahan maujud dan berakhir dengan proses pengabstrakan. Setelah murid memahami konsep penambahan, mereka seterusnya akan dibimbing untuk menguasai fakta asas tambah. Aktiviti untuk penguasaan kemahiran tidak banyak melibatkan manipulasi bahan maujud berbanding dengan aktiviti semasa penguasaan konsep.
Setelah mengenalpasti objektif pengajaran dan pembelajaran, para guru perlu menyenaraikan pengetahuan dan kemahiran sedia ada yang perlu dikuasai oleh setiap murid. Pengajaran sebaiknya bermula dengan mengingat semula pengetahuan sedia ada membuat pengukuhan jika perlu. Kemahiran dalam matematik bersifat heirarki dan berkesinambungan (Ngean, 1984). Kegagalan menguasai konsep dan kemahiran awal, akan menyebabkan kesukaran dalam pembelajaran kemahiran berikutnya.
Perancangan seterusnya ialah menentukan teknik atau kaedah yang paling sesuai untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Semua teknik atau kaedah adalah baik dan sesuai selagi mana ianya dapat membantu pelajar mencapai objektif yang digariskan ( Shaharir, 1984).

Saturday 12 November 2011

Strategi Pengajaran dan Pembelajaran

Tugas utama seorang guru ialah untuk memudahkan pembelajaran murid-murid. Untuk itu seseorang guru bukan sahaja dapat menyediakan suasana pembelajaran yang menarik dan harmonis, tetapi juga dapat menciptakan pengajaran yang berkesan. Ini bermakna guru perlu mewujudkan suasana pembelajaran yang dapat meransang minat murid-murid disamping sentiasa memikirkan kebajikan dan keperluan mereka. 
     Dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, guru kerap berhadapan dengan murid-murid yang berbeza dari segi kebolehan dan tahap pemikiran. Oleh itu, kepakaran guru dalam menentukan strategi pengajaran dan pembelajaran amatlah penting bagi mencapai objektif pengajaran. Guru perlu memilih pendekatan, kaedah dan teknik tertentu yang sesuai dengan perkembangan dan kebolehan murid-murid. Strategi yang dipilih, selain berpotensi meransang murid-murid belajar secara aktif, ia juga harus mampu membantu menganalisis konsep atau idea dan berupaya menarik hati murid-murid menghasilkan  pembelajaran yang bermakna. 
     Aktiviti-aktiviti yang dipilih dalam sesuatu pengajaran, hendaklah yang menarik dan mempunyai potensi yang tinggi untuk membolehkan isi pelajaran dan konsep-konsep yang diterjemahkan secara jelas dan boleh mempengaruhi intelek, emosi dan minat murid-murid secara berkesan. Selain itu, aktiviti yang dipilih perlu mempunyai urutan yang baik. Ia perlu diselaraskan dengan isi kemahiran dan objektif pengajaran. Guru harus memikirkan terlebih dahulu tentang kaedah dan teknik yang akan digunakan supaya sesi pengajaran dan pembelajaran akan memberi kesan dan bermakna kepada murid-murid. Pemilihan strategi secara bijaksana mampu menjamin kelicinan serta keberkesanan penyampaian sesuatu subjek atau pelajaran. 
     Terdapat beberapa kaedah dan teknik pengajaran yang boleh digunakan oleh guru. Antara kaedah tersebut ialah kaedah sumbang saran, kaedah demonstrasi, kaedah pengajaran kumpulan atau simulasi, kaedah penyelesaian masalah dan kaedah projek. Kepelbagaian kaedah dan teknik yang digunakan oleh guru akan menjadikan sesuatu pengajaran itu menarik dan akan memberi ruang untuk membolehkan murid-murid terlibat secara aktif dan bergiat sepanjang sesi pengajaran tanpa merasa jemu dan bosan. Pemilihan kaedah dan teknik yang ingin diaplikasi perlu dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak menghalang guru melaksanakan proses pembentukan konsep-konsep secara mudah dan berkesan. 
     Dari segi penggunaan teknik pula, guru boleh menggunakan apa sahaja teknik yang difikirkan sesuai sama ada teknik menerang, teknik mengkaji, teknik bercerita atau teknik perbincangan. Penggunaan contoh-contoh pula merupakan asas dalam pengajaran dan pembelajaran kerana ianya dapat melahirkan pemikiran yang jelas dan berkesan. Biasanya seseorang guru menerangkan idea-idea yang komplek kepada sekumpulan murid-murid dengan memberi contoh-contoh dan ilutrasi kerana idea yang abstrak, konsep-konsep yang baru dan susah akan lebih mudah difahami apabila menggunakan contoh-contoh dengan ilutrasi yang mudah dan konkrit. 
Kesimpulannya pengetahuan guru tentang tahap kebolehan dan pemikiran murid-murid akan dapat membantu  guru merancang dan memilih kaedah dan teknik yang paling 
sesuai untukdigunakan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.